Bilangan Pengunjung Mulai 11.06.09

Wednesday, July 1, 2009

Kucing Jadi Hakim


Dua ekor kera telah terjumpa seekor ikan. Ke dua - duanya bertengkar kerana mengaku ikan itu hak mereka. Akhirnya, mereka bersetuju melantik kucing sebagai hakim. Kucing yang arif tentang ikan akan menentukan siapa yang berhak memiliki ikan itu.


Mereka berjumpa kucing dan menceritakan masalah mereka.


"Tadi saya nampak seekor ikan tetapi sahabat saya telah mengambilnya. Siapakah yang berhak ke atas ikan itu, kucing ?" Tanya kera yang kecil.


"Tunggu sebentar. Saya akan menyelesaikannya." kata kucing.


Tidak beberapa lama kemudian, kucing membawa dacing. Kucing mengerat ikan itu kepada dua bahagian. Ditimbangnya kedua - dua bahagian ikan itu. Kucing mendapati bahagian kepala lebih berat. Dimakannya sedikit bahagian kepala itu. Kemudian, kucing menimbang ke dua - dua bahagian ikan itu semula. Kali ini, didapati bahagian ekor yang lebih berat. Lalu dimakan bahagian ekor itu sedikit. Ditimbangnya sekali lagi. Kali ini, bahagian kepala yang lebih berat. Dimakannya sedikit bahagian itu. Begitulah seterusnya dilakukan oleh kucing. Akhirnya, habislah ikan itu dimakannya.


"Apa yang telah kamu lakukan, kucing?" Tanya kera yang besar.


"Dalam hidup, jika kita selalu tamak dan haloba, kita akan rugi." kata kucing. Kucing pun meninggalkan kera yang terpinga - pinga itu.


"Dalam hidup, ada pihak lain yang untung daripada sikap tamak kita." Tambah kera yang kecil.