Bilangan Pengunjung Mulai 11.06.09

Saturday, August 29, 2009

Ramadan Atas Bumi Merdeka Ini...

Sempena dengan Sambutan Bulan Kemerdekaan 2009 yang berlangsung ketika umat Islam menunaikan ibadah puasa, pihak Muzium Sejarah Kota Tinggi turut mengadakan Pameran Jasamu Tetap Dikenang bagi merakamkan segala pengorbanan dan perjuangan Dato' Onn Jaafar. Pameran yang berlangsung mulai 24 Ogos hingga 23 Oktober ini telah memaparkan jasa beliau dalam menyatupadukan seluruh umat Melayu ketika Tanah Melayu dilanda malapetaka politik ancaman komunis dan Malayan Union. Pemikiran Dato' Onn Jaafar tentang perpaduan dan integrasi politik amat jelas melalui ucapannya di Kongres Melayu yang pertama di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 Mac 1946 :
" Adapun maksud dan tujuan kita ialah keyakinan diri kita bahawa nasib bangsa kita hanyalah akan dapat diperkenankan dengan kesatuan hati di antara kita juga dan kesatuan kebangsaan kita itu hanyalah dapat dipelihara dengan berpegang teguh kepada suatu kepercayaan yang lebih besar dan lebih tinggi daripada bangsa itu... Melayu hanya boleh selamat apabila kuat dan kuat apabila bersatu padu"



Hari ini...
Tatkala bangsa Melayu menyambut puasa,
Petangnya... Bazar Ramadan bagai berpesta,
Maghribnya... azan berkumandang di sana sini tanda sampai waktu berbuka,
Malamnya... bertarawih, tadarus, qiamulalil sepanjang masa,
Malam Tujuh Likur... pesta cahaya daripada pelita,
Hari ini...
Pabila bangsa Melayu menyambut puasa,
Tiada sedikit pun kerisauan di hati terasa,
Kita bebas beribadah apa sahaja,
Tanpa ragu dan rasa berbahaya,
Kerana negara di tempat kita berpuasa ini,
Selamat bagi Melayu hari ini,
Selamat kerana Melayu dulu,
Bersatu padu.
Hari esok...
Tatkala bangsa Melayu menyambut puasa,
Segala apa yang dinikmati ketika puasa hari ini,
Hanyalah paparan di Muzium Sejarah Kota Tinggi,
Seandainya negara ditempat kita berpuasa ini,
Tidak selamat bagi Melayu hari esok,
Tidak selamat sekiranya Melayu hari ini,
Tidak bersatu padu.

1 comment:

Anonymous said...

apa yang saya cari, terima kasih